Seorang pelajar sebuah kolej maut selepas lemas dihanyutkan oleh kepala air ketika sedang mandi bersama empat rakannya di Sungai Congkak, Hulu Langat hari ini.

Mayat mangsa ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Menurut, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussein Onn Mohamad Akmal Mohamad Khairi, pihaknya hanya turun untuk memantau ketika menerima panggilan.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.20 petang ketika mangsa sedang mandi bersama rakan-rakannya.

"Walau bagaimanpun bantuan pernafasan 'CPR' telah diberikan lebih awal oleh pihak dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga pasukan bomba sukarela," katanya.

Sementara itu, seroang pekerja am Congkak Park Resort, Muhmmad Shafiq, 27 tahun berkata ini merupakan kes pertama yang berlaku di kawasan ini.

"Kebiasaanya para pelajar datang ke sini untuk aktiviti riadah seperti 'team building' dan ini merupakan kes pertama sejak saya berkerja di sini," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Pihak bomba juga menerima arahan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor supaya pemantuan terus dilakukan di sungai dan di kawasan berisiko berlakunya kepala air.

Menurut Akmal, orang ramai dinasihati supaya tidak mengujungi sungai ketika terdapat tanda-tanda seperti air deras, ranting patah dan air keruh bagi mengelak berlakunya insiden kepala air.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Zadfir Mohamad Yussof, kejadian dipercayai berlaku ketika sekumpulan pelajar berkenaan sedang mandi.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun dikatakan tidak menyedari kepala air yang datang secara tiba-tiba.

Mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai ketika musim hujan bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.