Seorang pelajar meninggal dunia, manakala ibu bapanya parah selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Sandakan ke Kinabatangan, berdekatan Kampung Sentosa Jaya, pada Jumaat.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Lisa Muslim, 19, dilaporkan meninggal dunia akibat dihimpit kenderaan yang dipandunya.

Manakala, ibu bapanya cedera parah apabila ketiga-tiga mangsa berkenaan dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan sebaik terbabas.

Bagaimanapun, seorang ahli keluarga mangsa dilaporkan selamat kerana tidak tercampak dari kenderaan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nur Azlan Shah Jamaluddin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.06 petang dan menghantar lima anggota bomba ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, didapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Wira dinaiki empat individu.

"Seorang dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.