Dianggarkan hampir 3,000 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang kurang berkemampuan daripada tingkatan satu hingga lima di seluruh negara akan menerima manfaat di bawah Program Bantuan Untuk Pendidikan (Budi).

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, pelajar yang terpilih adalah mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar dan mendapat keputusan sekurang-kurangnya 3A dan 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Menerusi program Budi, pelajar terlibat akan menikmati manfaat antaranya wang saku setiap bulan, pengecualian bayaran wang caruman serta diperuntukan RM1,500 setahun bagi membeli barangan kelengkapan persekolahan.

"Diharap, mereka yang mendapat manfaat dalam program ini mampu mencipta kecemerlangan dan seterusnya membantu keluarga mereka kelak," kata Rina ketika ditemui pada lawatan kerja di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, di sini hari ini.

Dalam lawatan kerja itu beliau turut menyampaikan bantuan itu kepada 11 pelajar berkelayakan.

Hari pertama persekolahan pelajar tingkatan 1 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara hari ini mencatatkan jumlah seramai 7,628 orang pelajar mendaftar di institusi berprestij itu.