Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Taman Pandan Mewah, Ampang mengalami kecederaan apabila didera oleh ibu kandungnya sendiri.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, pihaknya menerima laporan daripada pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai yang memaklumkan terdapat kes dera melibatkan seorang pelajar sekolah berkenaan yang berusia 17 tahun.

"Menurut mangsa, ibunya sering melakukan penderaan ke atasnya di sebuah pangsapuri di Jalan Mewah Utama

"Mangsa juga mempunyai kesan melecur di perut, gigi patah, kuku dipotong hingga nampak isi malah mengalami gangguan emosi dan enggan pulang ke rumah.

"Pegawai Khas tersebut telah membawa mangsa ke Hospital Ampang untuk rawatan dan pemeriksaan seterusnya membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Sehubungan itu, Noor Azmi berkata polis telah melakukan tangkapan terhadap ibu mangsa berusia 39 tahun dan merupakan seorang suri rumah.

Suspek juga telah direman selama lima hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengadu dan orang awam yang mempunyai semangat dan tindakan berani serta pantas menghubungi pihak polis.

"Tindakan ini juga satu kejayaan pihak polis dalam tugas menangani jenayah penderaan terhadap kanak-kanak," jelasnya.