Statistik isu membabitkan pelajar sekolah yang terlibat dengan masalah disiplin ponteng sekolah yang tertinggi dicatatkan pada 2017 bukan berpunca daripada pembelajaran dan keadaan sekolah yang tidak kondusif.

Itu yang dinyatakan oleh Pakar Psikologi kanak-kanak Professor Madya Dr Mariani Mohd Nor yang lebih cenderung merujuk kepada masalah tingkah laku disiplin pelajar itu sendiri selain dari pengaruh laman sosial dan internet.

Malah menurut beliau, pembabitan dan minat mereka dalam aktiviti luar itu sendiri merupakan antara faktor yang menyebabkan mereka tidak lagi minat untuk belajar.

“Antara faktor yang menyumbang adalah kerana pelajar itu sendiri sebenarnya tidak lagi mempunyai minat untuk belajar. Kenapa? Ia adalah kerana adanya aktiviti di luar sekolah yang lebih menarik mereka. Tidak timbul soal membabitkan tempat dan suasana pembelajaran mereka tidak selesa atau kondusif. Kebanyakan mereka sememangnya akan cari jalan untuk tidak ke sekolah.

“Mereka ini juga didedahkan contoh-contoh aktiviti yang mudah ditiru dan diikuti dengan mudah dari laman-laman media dan media sosial. Dahulu kita tidak didedahkan dengan contoh sedemikian walaupun dalam diri kita mungkin memberontak. Tetapi mereka sekarang bukan sahaja dalamannya memberontak tetapi mereka boleh meluahkannya dengan mengikuti contoh yang terdapat di internet."

Justeru itu beliau turut menyarankan agar pihak pengurusan sekolah mampu menyediakan aktiviti di sekolah yang lebih menarik yang mampu menarik minat pelajar dalam usaha untuk mengurangkan gejala ponteng sekolah.

Semalam Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kadar penglibatan pelajar dalam gejala ponteng sekolah 1.4 peratus daripada keseluruhan 5 juta pelajar iaitu bersamaan 67,053 pelajar di seluruh negara.