Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pelajar Sabah jalani kuarantin syukur dapat rai Syawal bersama keluarga

Pelajar Sabah jalani kuarantin syukur dapat rai Syawal bersama keluarga
Pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung dihantar pulang ke kampung halaman sejak April lalu. - Foto Twitter@MOHEOfficial
KUALA LUMPUR: Meskipun sedikit lewat tiba di kampung halaman untuk menyambut Syawal bersama keluarga, namun ungkapan syukur tetap dizahirkan saat dapat melihat wajah ibu bapa di depan mata.

Pelajar Sabah yang mengikuti pengajian di universiti di Semenanjung antara individu yang perlu menjalani kuarantin beberapa hari mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum dapat pulang beraya bersama keluarga. 
Bagi Mohd Izzati Rezuan Abdul Penyu, 22, walaupun saat pulang ke rumah tanpa sambutan hari raya, dia bersyukur kerana masih dapat menikmati masakan ibunya iaitu kelupis dan kuah kacang yang menjadi juadah wajib setiap kali menjelang Aidilfitri.

Izzati yang sudah menjangkakan akan menyambut hari raya pertama di pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru, kampus Tawau itu berkata suasana raya di pusat kuarantin juga tidak ubah seperti kebiasaan apabila dihidangkan menu raya.
“Walaupun ada kekurangan, tetapi bagi saya, konsep bersyukur dan sabar itu perlu diamalkan ketika berada di pusat kuarantin,” katanya kepada Astro AWANI.

Suasana bilik kuarantin di PULAKOP, Kinarut, Sabah. - Foto Ihsan Ahmad Saffuan

Berkongsi perkara sama, Ahmad Saffuan Lahap, 22, yang menetap di Papar berkata sambutan raya tahun ini nyata berbeza ekoran mengikuti SOP disediakan kerajaan negeri Sabah untuk kekal berada di pusat kuarantin.

Dia, bagaimanapun, bersyukur kerana dapat menjamah juadah raya masakan ibunya yang dihantar ke pusat kuarantin berkenaan meskipun tidak dibenarkan untuk bersemuka.

Bangunan PULAKOP Kinarut yang dijadikan sebagai pusat kuarantin COVID-19 sementara. - Foto Ihsan Ahmad Saffuan

“Kerinduan itu diubati apabila saya dapat makan masakan ibu saya sambil ditemani oleh mereka secara dalam talian melalui panggilan video.

“Sepanjang kuarantin, selain menghabiskan masa dengan mengulang kaji pelajaran untuk persiapan sesi kelas dalam talian tidak lama lagi, saya juga sentiasa berhubung dengan rakan-rakan bagi menghilangkan kebosanan,” kata Saffuan ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Saffuan (bawah, tengah) sedang bergambar bersama keluarga menerusi panggilan video pada hari raya pertama melalui tangkapan skrin. - Foto Ihsan Ahmad Saffuan

Saffuan dan beberapa rakannya yang lain selesai menjalani kuarantin di Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi (PULAKOP) di Kinarut dan dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu.

Sementara itu, Mohd Zaber Amin Yatau, 22, yang berasal dari Telipok berkata biarpun berlaku sedikit kelewatan pada gilirannya untuk dibenarkan pulang, namun dia tetap positif untuk terus mengikuti proses kuarantin itu sebaik tiba di daerah kelahirannya.

Zaber yang merupakan mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, difahamkan kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya seperti arahan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Sekurang-kurangnya gembira juga dapat bertemu ahli keluarga walaupun saya sendiri belum berpeluang untuk berjabat tangan dengan mereka, malah juga belum boleh keluar rumah bagi mengelakkan berlaku penyebaran COVID-19,” katanya.

BACA: 1,480 pelajar dihantar pulang ke Sabah dan Kuala Lumpur 26 Mei ini