Seorang pelajar sekolah menengah maut apabila motorsikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum merempuh tiang telefon.

Kemalangan tersebut berlaku di Kampung Bukit Nenasi, Batu Rakit kira-kira jam 3.25 petang Sabtu.

Mangsa, Wan Mustaza Basyir Wan Fauzi, 14 tahun maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mizan, Kuala Nerus itu dikatakan dari arah Kampung Bukit Wan menghala ke arah Tepoh.

Semasa di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas sebelum motosikalnya tercampak ke dalam tali air.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Abd Razak Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.