Seorang pelajar sekolah menengah di Pasir Puteh, Kelantan, bakal dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 6 dan 7 Jun ini bagi memulakan perbicaraan kes memiliki dua butir bom.

Tarikh itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Bazli Bahruddin.

Difahamkan, lapan saksi bakal dipanggil termasuk Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman, pasukan forensik dan pakar kimia.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hafizi Mat Jusoh, 19 tahun, didakwa memiliki dua butir bom yang diubahsuai atau 'improvised explosive device' (IED) di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, pada jam 6.05 petang, 10 Okt lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad dan tertuduh diwakili dua orang peguam iaitu Ariff Azami Hussein dan Rithauddeen Aziz.