Pembabitan pelajar sekolah di Kelantan dengan gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata statistik menunjukkan 250 pelajar seawal usia 12 tahun dikesan positif dadah sejak tahun lalu hingga kini.

Menurutnya, mereka yang kebanyakannya pelajar sekolah menengah adalah daripada 5,200 pelajar yang menjalani ujian saringan air kencing kerana disyaki terlibat dengan dadah.

"Jenis dadah yang diambil pelajar terbabit ialah pil kuda, heroin dan air daun ketum," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri Kelantan 1/2015 di sini, pada Isnin.

Wan Junaidi berkata gejala penyalahgunaan dan pengedarah dadah itu berleluasa di Kelantan kerana dadah mudah diseludup dari negara jiran dengan harga murah.

"Sekolah menjadi sasaran kepada pihak pengedar menerusi murid sekolah yang berhenti dan digunakan untuk memasuki sekolah untuk jadi pengedar di sekolah."

"Perkara ini amat menggerunkan kerana anak muda yang dijadikan sasaran itu merupakan generasi negara akan datang," ujarnya.

Beliau berkata Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis telah mengenal pasti kira-kira 100 buah sekolah di negeri ini untuk dipantau secara rapi bagi membanteras gejala dadah dalam kalangan pelajar.

"AADK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kelantan telah menganjurkan kempen kesedaran bahaya dadah dan membenci dadah melibatkan 130,000 pelajar di negeri ini sejak awal tahun ini."

"Di negeri ini, terdapat kira-kira 340,000 pelajar sekolah menengah dan rendah yang perlu diberi kesedaran tentang bahaya dadah. Oleh itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan untuk membanteras gejala ini," katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata majoriti penagih dadah di negeri ini berusia antara 19 dan 30 tahun.