Sebuah restoran menjual nasi arab di sini, diarahkan tutup sementara bermula hari ini, berikutan kes keracunan makanan yang melibatkan sekumpulan pelajar tahfiz Institut Al Quran Darul Aman (Iqdar) di sini, dipercayai selepas memakan hidangan dari premis berkenaan semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar telah mengenalpasti premis berkenaan dan mengeluarkan notis penutupan itu selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan untuk kerja pembersihan dan siasatan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati makanan yang dihantar kepada pelajar tahfiz adalah lebihan nasi dan lauk ayam yang tidak habis dijual dan setakat ini kita dapati punca keracunan makanan kemungkinan disebabkan oleh lauk ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.

"Jumlah pelajar yang terdedah kepada keracunan makanan ini adalah seramai 150 pelajar namun daripada jumlah tersebut seramai 31 pelajar yang berumur antara 18 hingga 23 tahun telah mendapatkan rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 40 pelajar tahfiz Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar) di sini dilaporkan, mengalami keracunan makanan, disyaki berpunca daripada nasi Arab yang disumbangkan oleh sebuah restoran untuk moreh selepas tarawih, malam tadi.

-- BERNAMA