Seorang pelajar lelaki Tahun Satu maut selepas digilis sebuah kenderaan dalam kejadian di Kampung Selagon Dua, Beaufort, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, yang dikenali sebagai Muhammad Nuraizat Syah Danish Royhaizzath, 7 tahun, meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital oleh bapanya akibat kecederaan parah dibahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak dalam kenyataan media hari ini berkata, mangsa ketika kejadian dikatakan tiba-tiba melintas jalan di laluan berkenaan sebelum kemalangan itu.

"Siasatan awal mendapati kereta jenis Datsun yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dalam perjalanan dari Kg Pintas, Beaufort menuju ke pekan Beaufort ketika kejadian.

"Apabila tiba di lokasi kejadian di kawasan Kg Selagon Dua, seorang pejalan kaki yakni mangsa disyaki melintas jalan secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu kereta
tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa.

"Impak perlanggaran ini menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya lalu tergilis dengan tayar depan sebelah kiri kereta berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke hospital oleh bapanya namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan oleh pegawai perubatan hospital.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian mangsa yang melintas jalan secara berbahaya.

"Tiada unsur-unsur jenayah terkesan dalam kemalangan ini namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.