Seorang kanak-kanak perempuan di Kulim Kedah mengalami patah kaki apabila tersepit pada rim tayar motosikal yang diboncengnya pagi tadi.

Pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Taman Seri Mahkota di sini itu tersepit kaki kanan pada jejari roda motosikal di bahagian belakang.

Sewaktu kejadian pada jam 6.55 pagi tadi, mangsa Nur Amirah Md Romlan, 7, sedang membonceng motosikal yang di tunggangi oleh ibunya dalam perjalanan ke sekolah.

Taman Seri Mahkota

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Hafiz Husairi Abdul Aziz, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.06 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera dan sebuah ambulan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bersama lima anggota.

Sebaik tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati seorang pelajar perempuan berada di atas motosikal dengan kaki kanannya tersepit pada jejari rim tayar belakang motosikal.

Anggota bomba kemudian mengunakan peralatan menyelamat lalu mengeluarkan kaki mangsa daripada rim tayar motosikal itu.

Mangsa didapati mengalami patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian sebelum ini seorang kanak-kanak lelaki, 4 tahun tersepit pada rim tayar motosikal yang di tunggangi ibunya sewaktu ingin membeli nasi kandar di Simpang Kuala, Alor Setar.


Kanak-kanak terbabit mengalami patah tangan dan bahu kiri selain putus urat menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan memasukan dua batang besi di tangannya.