Seorang pelajar universiti awam lemas ketika mandi di Air Terjun Chamang, Bentong pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Yusuf Unis ketika dihubungi Astro AWANI berkata mangsa Mohammad Amirul Nashriq Othman, 19 tahun, dikatakan pergi ke lokasi tersebut bersama tujuh rakan daripada universiti sama.

Dilaporkan lima daripada mereka turun ke kawasan air terjun yang merupakan kawasan larangan untuk mandi.

Ketika mandi, mangsa tiba-tiba tenggelam dan gagal dikesan sebelum timbul 15 minit kemudian.

Menurut Yusuf, rakan-rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun tidak berjaya.

BACA: Lelaki lemas kaki tersepit celah batu air terjun Chamang

Air Terjun Chamang merupakan kawasan arus deras yang berbahaya. Tahun lalu, lokasi ini turut meragut nyawa seorang warga Bangladesh.