Seorang pelajar sebuah universiti swasta di Shah Alam dilaporkan hilang sejak awal pagi Khamis ketika keluar menjemput seorang rakan berhampiran kediamannya.

Mohammad Hafiz Ismail, 24 tahun, tidak dapat dikesan keluarganya setelah keluar menaiki kereta Perodua Axia untuk bertemu rakan yang dikenali sebagai Wan di Uptown Shah Alam pada jam 12.49 pagi Khamis.

Menurut adiknya, Noor Isma Syahira Ismail, kehilangan Mohammad Hafiz disedari bapanya setelah dimaklumkan teman wanita anaknya Sabrina Al-Jufri.

“Sabrina menelefon ayah kerana dia tidak dapat menghubungi abang sejak awal pagi Khamis. Whatsapp tidak dibalas dan telefon bimbitnya juga ditutup atau kemungkinan baterinya habis," kata Noor Isma Syahira.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan pihak keluarga masih cuba mencarinya di sekitar Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib dalam pada itu mengesahkan laporan dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Mohammad Hafiz diminta menghubungi Ismail Md Ali (bapa Mohammad Hafiz) di talian 013-8750069.