Seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) maut hari ini apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas sekolah.

Kemalangan berlaku di Kampung Binjai Bongkok di Marang Terengganu jam 3.30 petang tadi.

Mangsa, Nor Izzati Khairunnisa Asli, 19, anak ketujuh dari lapan beradik itu menjalankan perniagaan dalam talian secara sambilan .

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar tudung pelanggannya di Kampung Rawai, Marang.

Kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas dan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan bas sekolah yang datang dari arah Bukit Payung.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala pemandu bas sekolah yang dalam perjalanan pulang ke rumah tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) , Kuala Terengganu untuk bedah siasat.