Pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak adil kepada pegawai dan anggotanya kerana mereka tidak diadili di mahkamah selain tidak boleh mengemukakan rayuan setelah dijatuhkan hukuman.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, ia termasuk mereka yang menghadapi tindakan tatatertib juga tidak mempunyai hak untuk merayu di mahkamah.

Jelasnya, mana-mana pihak yang cuba menubuhkan IPCMC merupakan tindakan untuk menekan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Soal beliau, adakah salah laku polis benar-benar tidak mempunyai ruang untuk dilaporkan atau tiada sebarang tindakan diambil kepada mereka.

“Saya melihat ia hanyalah sebahagian daripada cara untuk menekan PDRM dan menghalalkan ahli politik menguasai mereka walhal PDRM terletak di bawah naungan diraja dan tertakluk kepada undang-undang jua.

“Sudah banyak kita lihat di mana anggota polis yang disabitkan dengan pelbagai kesalahan jenayah dan tatatertib. Peguam negara menuduh dan mahkamah memutuskan pelbagai kes sebelum ini

“Adilkah ini? Sedangkan pesalah jenayah pun mempunyai hak untuk merayu melainkan kes-kes yang melibatkan hukuman mati mandatori,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

BACA: Kerajaan puas hati kecemerlangan PDRM - PM

BACA: Pengundi PDRM perlu jadikan Semenyih sebagai referendum tolak IPCMC - Bastien

Dalam pada itu tegas Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat, IPCMC membuka ruang parti-parti politik meletakkan PDRM di bawah telunjuk mereka.

“Saya bimbang apabila tertubuhnya IPCMC ini, maka ahli-ahli politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik akan menjadi ahlinya dan membuka kecenderungan mereka untuk memastikan PDRM berada di bawah telunjuk sesetengah pihak.

“Kita tidak boleh membenarkan senario ini berlaku sebaliknya memastikan PDRM terus bebas menjalankan tugasan mereka secara adil dan profesional.

“Kuasa tatatertib di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) harus dikekalkan seperti termaktub dalam peruntukkan Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dalam aspek kawalan salah laku dan tatatertib PDRM boleh diperkasakan.

Bastien turut mahu orang ramai agar tidak bimbang dengan keupayaan dan integriti polis kerana mekanisme sedia ada sudah memastikan tahap disiplin anggota-anggota PDRM.

“Jangan terperdaya dengan mana-mana persepsi bahawa polis seolah-olah tidak boleh dihukum dan kebal.
Saya minta mana-mana pihak untuk tampil menyatakan sekiranya ada kes-kes berhubung salah laku anggota PDRM yang tidak diambil perhatian dan disiasat.

“Ia bukan alasan untuk mencengkam PDRM. Sebaliknya hargailah mereka yang bersabung nyawa saban hari untuk memastikan kita semua dapat tidur nyenyak.

“Saya minta kerajaan mula memahami risiko kerja mereka dahulu. Fikirkan soal anak dan isteri yang saban hari berdebar setiap kali suami atau isteri mereka menyarung seragam biru untuk melindungi rakyat,” ujarnya.

Katanya, alangkah baik jika kerajaan memperjuangkan kelengkapan PDRM lebih dahulu sebelum bercakap soal penubuhan IPCMC.

“Sudahkah mereka membuat perbandingan dengan negara maju yang mempunyai IPCMC seperti United Kingdom (UK) dan Australia dari segi gaji, kebajikan dan pemodenan kelengkapan peralatan sebelum terburu-buru ingin menubuhkan IPCMC.

“Saya simpati apabila mereka menyambut Hari Polis ke 212, satu perjalanan panjang yang penuh cabaran, anggota polis pula berdepan dengan isu penubuhan IPCMC.

“Mungkin ini cara kerajaan menghargai jasa mereka. Maklumlah zaman ini, perjuangan tentera Jepun pun diangkat sebagai wira,” tegasnya.

Pada sambutan Hari Peringatan Polis Ke-212, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PDRM mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara sebanyak 11.9 peratus bagi tahun 2018.

Jelasnya, bagi tahun lalu, sebanyak 88,662 kes dicatatkan berbanding nilai ambang atau threshold sasaran sebanyak 100,611 kes.