PUTRAJAYA:Kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan levi pelbagai peringkat (multi tier levy) dari 1 Januari ke 1 Julai 2021 tahun depan bagi memastikan kelangsungan sektor perniagaan menggunakan tenaga kerja asing di negara ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing pada Khamis.

"Kita telah bersetuju cadangan Kementerian Sumber Manusia menangguhkan multi tier levy dari 1 Januari 2021 yang telah diluluskan mesyuarat lepas, kita tangguhkan kepada 1 Julai 2021.

"Langkah diambil setelah kita lihat impak pandemik COVID-19 menjejaskan pertumbuhan industri dan operasi perniagaan. Mesyuarat memutuskan kadar multi tier levy setiap sektor dikaji semula bagi pelaksanaan kelak," jelas Hamzah.

Sementara itu, menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira faktor kelangsungan perniagaan, peningkatan kos perniagaan dan impak kekurangan tenaga kerja dalam sektor berasaskan 3D dan daya tahan industri.

"Dalam tempoh penangguhan ini, saya dan Menteri Dalam Negeri ingin menyeru kepada pihak industri untuk menstrukturkan semula perniagaan mereka terutamanya dari aspek tenaga kerja, memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

"Mengoptimumkan insentif-insentif kerajaan ke arah peralihan kepada insentif berasaskan automasi dan mengoptimumkan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin khususnya bagi industri 3D," katanya.

Pada masa sama jelasnya, mesyuarat juga bersetuju agar tiada pengambilan pekerja asing buat masa ini, yang juga selaras dengan penutupan sempadan negara dan moratorium pekerja asing.