Pelaksanaan undang-undang tertentu di negara ini dilihat bertentangan dengan intipati Perlembagaan dan menindas hak kebebasan, kata peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Ambiga bercakap tentang situasi kebebasan di Malaysia sewaktu menjadi anggota panel Malaysia Freedom Summit 2015 yang berlangsung hari ini di Petaling Jaya.

“Kita mempunyai undang-undang yang bersifat menindas seperti Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang mempunyai definisi samar.

“Ia bermakna bahawa kuasa boleh disalahgunakan dengan mudah,” kata beliau yang antara lain turut menyebut tentang Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Pertubuhan.

Aktivis hak asasi manusia itu menyifatkan perincian Perlembagaan di atas kertas sudah mempunyai percanggahan berdasarkan penggubalan akta-akta tersebut dan masalahnya lebih teruk apabila dilaksanakan.

Katanya, sejak isu perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula, terdapat hampir 150 kes siasatan dibuka menggunakan akta-akta berkenaan yang jelas hanya dikenakan kepada sebelah pihak.

“Semuanya ada keseimbangan dalam rangka Perlembagaan. Malang sekali, dalam interpretasi Perlembagaan, aspek ‘keseimbangan’ itu sering disalah tafsir, dilupakan atau diabaikan sepenuhnya,” ujarnya.

Selain itu Ambiga berpendapat, soal kebebasan agama juga ada waktunya menerima tekanan daripada pandangan ekstremis.

'Menangani potensi ancaman'

Sementara itu, seorang pengamal undang-undang Ann Mokhtar ketika dihubungi Astro AWANI bagi mengulas perkara tersebut berkata, undang-undang seperti POTA, Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi adalah undang-undang pencegahan.

“Undang-undang pencegahan perlu wujud untuk mengawal dan menangani potensi ancaman tertentu. Bukan kita saja yang melakukannya, di banyak negara lain juga mempunyai undang-undang yang seumpamanya.

“Semua orang bebas melakukan apa saja mengikut dasar Perlembagaan tetapi kita perlu ingat bahawa kepentingan seseorang manusia tidak boleh melebihi kepentingan sejagat,” jelas beliau.

Ann berpendapat, undang-undang pencegahan memang perlu diwujudkan lebih-lebih lagi dalam zaman komunikasi yang lebih meluas melalui penggunaan Internet dan media sosial.

“Misalnya, bagaimana kita hendak mengawal sesuatu perkara yang sedang diapi-apikan? Apabila wujud saluran untuk orang bebas memberi pendapat, ia berupaya meningkat menjadi hasutan dan pengkhianatan.

Sedangkan pengkhianatan itu sendiri satu kesalahan,” katanya yang percaya setiap perkara perlu dilakukan berdasarkan timbang tara yang wajar.

Ditanyakan sama ada undang-undang pencegahan terdedah kepada risiko salah guna kuasa pihak tertentu, beliau berkata, semua perkara terdedah pada kemungkinan itu.

“Namun, ia tidak mungkin berlaku jika kita membenarkan pihak pengamal undang-undang menjalankan tugas mengikut caranya. Pada masa yang sama, pihak berkuasa dan pemerintah perlu menguat kuasa dan melaksanakan undang-undang itu dengan telus dan tidak berat sebelah,” kata Ann.