Kementerian Pertahanan komited memastikan usaha membela nasib dan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diperkukuh dari semasa ke semasa.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pelan Tindakan Pendidikan Kementerian Pertahanan 2018-2022 yang dilancarkan hari ini, akan dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim.

“Kita telah mula berusaha merapatkan barisan supaya tidak ada pembaziran, pertindihan dan ianya sampai kepada golongan sasar yang kita lihat cukup bersejarah.

“Ini kerana apa yang kita bentangkan secara telus dan bukannya bermusim. Ini janji, ikrar dan komitmen kita kepada anggota dan keluarga mereka.

“Malah mereka boleh berpegang pada janji ini kerana kita telah membuktikannya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pendidikan Kementerian Pertahanan 2018-2022 di Padang Kawad Batalion Ke Lima Rejiman Askar Melayu Diraja(RAMD) Kluang Johor.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid , Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, serta Panglima Tentera Darat , Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Sementara itu, Jeneral Tan Sri Zulkiple dalam ucapannya memberitahu, seramai 102,820 orang akan menerima manfaat daripada rangka tindakan pendidikan tersebut.

Ia melibatkan seramai 33,611 pelajar, 1,987 guru sekolah dalam kem dan 67, 222 ibu bapa yang terdiri dari warga ATM, warga veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan.

Bagi memastikan pelan tindakan tersebut berimpak tinggi, ia juga melibatkan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat.

Empat tunjang utama pada lima tahun pertama pelan tindakan itu telah digariskan , termasuk fokus kepada pembangunan infrastruktur pendidikan di kesemua 38 buah sekolah didalam kem ATM seluruh negara.

Memperkasa institusi pendidikan yang unggul melibatkan Maktab Tentera Diraja dan maktab Rendah Sains Mara Terendak, memperjuangkan inisiatif kebajikan pendidikan Kementerian Pertahanan serta mengiktiraf dan menghargai warga ATM.

Pelan Tindakan pendidikan itu mula dirangka sejak awal tahun lepas, dan ia merupakan salah satu inisiatif utama yang digerakkan dibawah teras kebajikan kementerian pertahanan serta dikelolakan oleh pasukan tindakan khas pendidikan.