Pelantikan beberapa menteri utama baru-baru ini oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi isyarat kepada pasaran bahawa Malaysia menjalani peralihan kuasa yang stabil kepada kerajaan Pakatan Harapan, kata seorang ahli akademik yang berpangkalan di Singapura.

Dr Oh Ei Sun, Felo Kanan Adjung Fakulti Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura berkata, pelantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan akan memberi jaminan kepada masyarakat perniagaan antarabangsa bahawa Malaysia adalah serius dalam menangani rasuah dan menghargai peraturan undang-undang dalam urusan perniagaannya.

"Ini kerana Lim, sebagai bekas Ketua Menteri Pulau Pinang mempunyai sekurang-kurangnya rekod 10 tahun untuk mengendalikan kewangan negeri," katanya kepada Channel News Bernama pada Selasa ketika diminta berkongsi pandangannya mengenai pelantikan anggota Kabinet baru-baru ini.

Selain Lim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Ketiga-tiga mereka akan menyertai Perdana Menteri dan Timbalannya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam barisan Kabinet yang akan mempunyai 25 ahli.

Menyentuh tuduhan rasuah terhadap Lim, Oh berkata: "Saya fikir kebanyakan rakyat Malaysia melihat ini (sebagai) tidak ada apa kecuali penganiayaan politik oleh rejim sebelumnya."

Mengenai pelantikan Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan, beliau berkata: "Pada mulanya ia agak aneh. Beliau tidak mempunyai pengalaman ketenteraan, tetapi kita jangan lupa bahawa semua bekas Menteri Pertahanan yang lain juga tidak mempunyai sebarang pengalaman - termasuk Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Najib Razak."

Oh berkata, adalah penting untuk memastikan bahawa tentera terus yakin bahawa perubahan dalam kerajaan tidak akan menyebabkan gangguan.

"Seseorang seperti Mat Sabu, dengan kelulusan agama beliau, akan bermanfaat untuk meyakinkan tentera bahawa negara ini akan mempunyai peralihan yang sangat aman," katanya.

Mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri, ahli akademik itu berkata, sebab utama ialah Kementerian Dalam Negeri adalah kementerian yang besar yang terdiri daripada pelbagai jabatan.

"Kita memerlukan seseorang yang mempunyai pengalaman pentadbiran yang kukuh dan lama untuk mengendalikan kementerian yang begitu besar," jelasnya.

Mengenai Dr Wan Azizah, Oh berkata, Malaysia mencipta sejarah dengan melantik seorang wanita sebagai Timbalan Perdana Menteri,

Ini adalah baik untuk menjamin kesaksamaan jantina di negara ini, katanya, sambil menambah bahawa beliau berharap Malaysia pada suatu hari mempunyai seorang Perdana Menteri wanita.

-- BERNAMA