Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak pernah membincangkan berkenaan pelantikan pakar asing sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata syarikat dana pelaburan strategik kerajaan itu memerlukan individu yang mengetahui selok belok operasinya.

“Kami telah mengadakan mesuarat Ahli Lembaga Pengarah yang pertama sebulan lalu. Tiada perbincangan berhubung perkara itu.

“Kami akan terus berbincang berkenaan calon. Kami perlukan kumpulan profesional untuk mengendalikan dan menguruskan hal ehwal perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pembukaan Forum Khazanah Megatrends 2018 di sini hari ini.

Pada Isnin, The Star melaporkan Khazanah mungkin melantik pakar asing menganggotai lembaga pengarahnya sebagai sebahagian strategi bagi mempelbagaikan kepakaran.

Memetik sumber, antara yang berpotensi dikatakan seorang warga China yang merupakan pengasas kepada sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) di China, yang turut menerima sokongan Alibaba.

Tambah Mohamed Azmin, kerajaan perlu melihat kepada cabaran baharu yang wujud melalui program pembangunan strategik berkaitan kajian dan pembangunan (R&D) serta pelaburan hijau (green investments).

“Semua perkara itu perlu dikendalikan oleh Khazanah.

"Berkaitan nilai komersial, kami sedang bekerjasama dengan pelbagai syarikat untuk memastikan pulangan yang baik dan positif,” tambahnya.

Katanya, penglibatan negara dalam pembangunan teknologi tinggi terbaharu menjadi antara penarik pelaburan langsung asing (FDI).