Susulan laporan bot dinaiki pelarian Rohingya didakwa sedang menuju dan akan mendarat di perairan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Maritim Utara bertindak meningkatkan rondaan di perairan Langkawi di Selat Melaka dan Laut Andaman.

Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd Said berkata, pihaknya telah meningkatkan rondaan serta pengawasan sebaik saja menerima maklumat risikan awal berhubung perkara itu.

Enam buah aset Maritim Malaysia telah digerakkan dan berada di perairan Wilayah Utara.

Antara aset terbabit adalah dua buah kapal dan empat buah bot penyengat untuk melakukan pengesanan dan pengejaran.

Bagaimanapun katanya, sehingga jam 4 petang ini, masih tiada sebarang pengesanan atau tanda-tanda kemasukan bot berkenaan.

Sementara itu, Rozali turut meminta orang awam terutama nelayan supaya memberi maklumat sekiranya ternampak kelibat kapal atau bot asing yang mencurigakan melintasi perairan negara.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Wilayah Maritim Utara Langkawi 04-9662750..