Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas pelbagai barangan berjenama tiruan yang dijual kepada pelancong asing di pasar malam Batu Feringghi.

Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung berkata rampasan dibuat dalam operasi bersama penguatkuasa Jabatan Imigresen.

Ia berjaya merampas lebih 2,000 unit pelbagai barangan jenama terkenal bernilai RM66,000 termasuk beg tangan wanita, kasut, jersi serta topi yang kebanyakannya dijual di tujuh buah gerai di kawasan tumpuan pelancong itu.

Chin berkata, produk yang dirampas itu merupakan barangan tiruan kepada jenama seperti Adidas, Jimmy Choo, Michael Kors, Nike, Puma dan banyak lagi, yang dijual pada harga lebih 50 peratus daripada harga asal.

Katanya, dalam operasi itu, seramai tujuh individu berusia antara 20-an dan 40-an yang bekerja di premis menjual barangan berkenaan, termasuk seorang warga Bangladesh berusia 30-an, ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.








Pihak imigresen turut menahan dua lelaki Bangladesh berusia 30-an yang bekerja di gerai pasar malam berkenaan namun mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.

Kes di siasat menurut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap unit barang tiruan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, mereka yang disabit kesalahan boleh didenda RM20,000 setiap unit barang tiruan atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.