Pelepasan cukai kepada projek-projek mega diberikan sejak era 1980an

Pelepasan cukai kepada projek-projek mega diberikan sejak era 1980an
Subromaniam berkata pelepasan cukai kepada projek ECRL diberikan dengan mengambil kira faktor bahawa projek itu dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Pengecualian cukai kepada beberapa projek besar milik kerajaan telah diberikan sejak tahun 1980an dan isu pelepasan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi perolehan barang dan perkhidmatan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak seharusnya diputarbelitkan pihak tertentu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata pelepasan cukai kepada projek ECRL diberikan dengan mengambil kira faktor bahawa projek itu dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui syarikat pelaburan kerajaan iaitu Malaysia Rail Sdn Bhd.

"Memang benar kerajaan ada bagi pelepasan kepada projek ECRL kepada syarikat China tetapi kita perlu ingat projek ini kepunyaan Malaysia dan pemilik sebenar adalah Malaysia yang mana akhirnya dapat manfaat adalah Malaysia bukan China," katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Isu ini tidak seharusnya diputarbelitkan kerana kerajaan juga telah memberikan pengecualian seperti ini ketika era cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada beberapa projek besar ketika tahun 80an iaitu sejak ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.
Di bawah Insentif Untuk Projek Perkhidmatan Diluluskan (ASP), duti import dan pengecualian cukai jualan ke atas mesin dan peralatan telah diberikan untuk projek-projek dalam sektor pengangkutan, telekomunikasi dan utiliti," katanya.

Subromaniam berkata syarikat-syarikat telekomunikasi, pengeluar tenaga bebas (IPP), pelabuhan dan lapangan terbang, kereta api dan lain-lain adalah di antara penerima manfaat di bawah insentif ini.

"Antara projek-projek besar yang mendapat pengecualian adalah projek yang melibatkan IPP, Terowong SMART, Stadium Bukit Jalil, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Express Rail Link (ERL), Transit Aliran Massa (MRT) dan banyak lagi projek-projek lain untuk mengurangkan impak kos projek," katanya.

"Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menegaskan memang terdapat mekanisme dalam GST yang bertujuan untuk mengurangkan impak golongan yang disasarkan.

JKDM dari semasa ke semasa akan mempertimbangkan permohonan pelepasan kepada syarikat yang memohon serta layak," katanya.

Secara amnya, beliau berkata pelepasan ke atas syarikat berkenaan adalah bagi memastikan projek strategik ECRL tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

"Sekiranya pelepasan ini tidak diberikan sekalipun, kerajaan terpaksa menanggung kos GST ke atas perolehan ini di mana kerajaan perlu menambahkan pinjaman untuk menampung kos atau mengalami kerugian," katanya.

-- BERNAMA