Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi peluang kepada pesara anggota keselamatan tidak berpencen untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Johari Baharom, ia adalah penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan yang dicurahkan untuk memelihara keselamatan negara.

Beliau menjelaskan melalui inisiatif berkenaan agensi berkaitan akan memberikan bantuan modal, lesen, khidmat nasihat serta bengkel sebelum mereka terlibat sepenuhnya dalam bidang dipilih.

Untuk mendapat kemudahan itu mereka perlu membuat permohonan kepada agensi di bawah kementerian.

“Ada yang memohon untuk mendapatkan lesen sampan dan sebagainya. Kita memang akan beri dan sesiapa yang berminat boleh berjumpa saya atau pegawai-pegawai saya,” kata Mohd Johari.

“Ini adalah sumbangan kita di bawah kementerian saya dalam membantu mereka terutama yang begitu berminat dalam bidang-bidang pertanian yang lain,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, mereka mungkin berminat untuk menyertai bidang pertanian ternakan dan sebagainya seperti bidang akuakultur seperti memelihara ikan keli dan sebagainya dan kita akan pasti beri sumbangan ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu meminta mereka sentiasa berhubung dengan kementeriannya bagi mendapat maklumat berkaitan peluang baru disediakan.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan wang tunai RM1000 kepada 1,337 veteran tidak berpencen di Dewan Kolej Matrikulasi di Changlun semalam.