Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan latihan ketenteraan (Exercise Leopard) pada 20 Januari 2019 hingga 7 Februari 2019 bertempat di PULADA ( Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat).

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan oleh PALAPES antaranya aktiviti menembak menggunakan senapang GPMG (Ganeral Purpose Machine Gun) dan M2O3 (Granede Launcer).

Kolonel (Kehormat) Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly (Naib Canselor) UTHM berkata beliau amat berbangga dengan PALAPES kerana PALAPES merupakan badan beruniform yang menguji ketahanan fizikal dan juga mental.


Hal ini merujuk kepada kepelbagaian aktiviti yang telah diadakan oleh penganjur PALAPES antaranya adalah latihan Inokulasi Tentera yang menguji ketahanan fizikal.

Kepantasan pergerakan oleh kadet dalam mengharungi latihan Inokulasi Tentera sehingga kegarisan penamat adalah amat membanggakan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (TNC), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad semasa lawatan beliau ke tempat latihan di Hutan Simpan Nitar Mersing berkata dengan melibatkan diri dalam PALAPES, lepasan graduan akan lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan yang mencabar kerana mental dan fizikal mereka lebih kuat berbanding orang lain.

Katanya lagi, disiplin dan sikap saling hormat menghormati yang disemai sewaktu latihan juga turut memainkan peranan yang penting untuk pembangunan kerjaya kelak.

PALAPES dilihat sebagai cabang serta laluan yang boleh dimanfaatkan demi meningkatkan kesediaan dan ketahanan diri dalam menempuh alam dewasa yang kian mencabar.


* Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Titi Aryani dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan disunting Suriayati Baharom

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***AwaniRangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.