PENYANYI, komposer dan penerbit tersohor, Faizal Tahir telah menjadi artis lelaki pertama yang membuat persembahan di Acara Perbarisan Hari Kebangsaan yang telah diadakan di Putrajaya, pagi tadi.

Faizal Tahir mempersembahkan lagu Malaysia di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berserta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri-Menteri Kabinet.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku, sambutan Hari Kebangsaan ini menyaksikan empat komponen utama perarakan yang terdiri daripada kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu.

“Alhamdulillah, terima kasih Malaysia untuk peluang sekali seumur hidup yang amat bermakna ini. Saya berasa rendah hati dan bangga kerana telah diberi keistimewaan untuk tampil membuat persembahan di hadapan pemimpin negara kita. Selamat Hari Kebangsaan Malaysia!” ujar Faizal.

Dijangka seramai 300,000 orang rakyat berbilang kaum termasuk pelancaong luar negara hadir bagi menunjukkan semangat kemerdekaan dengan menyaksikan acara bersejarah tersebut.