Seorang pelukis grafiti warga Belanda ditahan kerana menceroboh dan cuba merosakkan tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Chan Sow Lin di sini, awal pagi semalam.

Jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Lim Jin Aun berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan oleh Polis Bantuan Prasarana kira-kira 4.30 pagi semalam selepas cuba memanjat pagar LRT di kawasan bawah jejambat berhampiran Balai Polis Pudu.

"Lelaki berkenaan dibawa ke Balai Polis Pudu untuk tindakan lanjut dan suspek mengaku dia daripada kumpulan artis jalanan Woohoo," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas adalah pelbagai peralatan yang digunakan untuk tujuan grafiti seperti tujuh bekas cat penyembur, sepasang sarung tangan dan empat anak kunci yang menyerupai kunci pintu tren.

Lim berkata Prasarana amat kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu kerana ia bukan sahaja melibatkan pertambahan kos untuk membersihkan tren tetapi turut mengurangkan jumlah tren yang beroperasi untuk tempoh tertentu.