Usaha mencari mangsa kedua bot karam di perairan Sungai Kampung Kelantan berakhir dengan penemuan mayat pada pagi Isnin.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar 7.55 pagi di perairan berkenaan.

Mangsa, Mohd Faliq Fadhul, 26 tahun ditemui pada pagi Isnin selepas mayat rakannya Amirul Asyraff Abdullah, 24 tahun ditemui pada petang semalam (Ahad).

BACA: Mangsa pertama bot karam di Lenggong ditemui

Kedua-dua mereka dipercayai telah keluar ke perairan Sungai Kampung Kelantan pada Sabtu lepas sebelum bot yang disewa mereka didapati karam oleh pemilik bot berkenaan yang melaporkannya kepada pihak berkuasa.

"Operasi menaikkan mangsa sedang dijalankan dan seramai 39 anggota termasuk PDRM, BBP Lenggong, APM, orang kampung terlibat dan lima unit bot digunakan dalam operasi selama dua hari ini.

"Operasi diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Mohd Annuar Mohd Saff," ujarnya lagi.