Pemancing yang lemas ketika membantu menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu dianugerahkan Wira Darul Iman.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, anugerah itu juga akan diberikan kepada lima lagi individu atas jasa dan keberanian mereka yang turut sama bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

Menurut Ahmad Samsuri, selain itu insentif juga akan diberikan dan akan disampaikan pada 22 Februari ini.

“Dengan sendirinya apa yang dilaksanakan itu menjadi contoh dan dorongan untuk membantu masyarakat yang lain. Dalam masa sama, kita juga berbincang cara untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan di kawasan berkenaan seperti mana dalam sidang media saya semasa saya buat kunjungan ke lokasi itu," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, seorang pemancing dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga di dalam sebuah kenderaan yang terjunam ke dalam muara Sungai Terengganu kira-kira jam 9.40 malam.

Mayat Abdul Bari berjaya ditemui kira-kira jam 7.24 pagi Ahad sekitar jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

BACA: Mayat pemancing cuba selamatkan penumpang ditemui

BACA: Hasrat murni pemancing cuba selamat penumpang bertukar tragedi