Pemandu bas henti-henti RapidKL yang merempuh beberapa kenderaan di Ampang, Selangor, Jumaat lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengambil dadah.

Md Khairol Anuar Mohamad, 32, yang memakai baju T berwarna hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.

Mahkamah bagaimanapun belum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh kerana menunggu laporan patologi.

Tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine di dalam badannya di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini pada 7.40 malam, 17 Ogos lepas mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amirul Asyraf Abdul Rasid mencadangkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Isteri Md Khairol Anuar yang merupakan penjamin merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu dengan alasan mereka perlu menyara seorang anak berusia lapan bulan selain kesihatannya juga tidak berapa baik kerana mengalami darah rendah dan masalah jantung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes itu.