Polis menahan seorang pemandu yang dipercayai merogol anak tirinya yang juga seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak dua tahun lalu.

Mangsa yang kini berumur 15 tahun dipercayai mula dicabul ketika berumur 12 tahun dan mula dirogol sejak pertengahan Mei 2017.

Suspek yang berumur 49 tahun dikatakan berhenti melakukan perbuatan terkutuk itu apabila mangsa berpindah ke rumah datuknya pada Mei tahun ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, perbuatan suspek terbongkar apabila mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa telah dirawat oleh seorang doktor yang bertugas di Wad 6A HRPB pada ketika itu kira-kira jam 6 petang Jumaat.

“Ketika temubual bersama mangsa, pengadu telah diberitahu oleh mangsa bahawa dia telah dicabul oleh suspek ketika berada di rumah Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang, sejak tahun 2015 sehingga tahun 2018.

“Kejadian terakhir berlaku di dalam bulan Disember 2018. Mangsa telah dibawa oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dari rumah neneknya di Malim Nawar, Perak bagi mendapatkan rawatan lanjut setelah laporan dibuat oleh cikgu sekolah mangsa yang menerima pengaduan daripada mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Adnan berkata, mangsa merupakan seorang OKU masalah pembelajaran dan didapati takut atau trauma untuk berkomunikasi dengan lelaki.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa telah dibuat oleh doktor pakar pediatrik dan pakar perunding obstetrik dan ginekologi HRPB pada Jumaat dan hasil pemeriksaan oleh pakar mendapati ada kesan lama bahawa mangsa telah dirogol.

Katanya, suspek telah ditangkap di rumah di Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang di sini kira-kira 5 petang Jumaat dan direman tujuh hari sehingga 20 September depan.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.