Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Isnin, atas pertuduhan mencabul penumpang wanitanya, awal bulan ini.

Mohd Fadzil Mahat, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan tujuan hendak mencabul kehormatan mangsa yang berusia 28 tahun.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 7 petang di dalam sebuah kereta di Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh pada 1 Julai lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menjaga tiga anak yang masih bersekolah selain menanggung ibu bapa yang sudah uzur.

Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mendekati dan mengganggu mangsa.

Beliau turut menetapkan tarikh 15 September depan untuk pelantikan peguam serta serahan dokumen.