Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing ditahan polis apabila enggan memberi kerjasama selepas terlibat dalam satu kemalangan, pada Sabtu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, kejadian berlaku pada 12.50 pagi di Jalan Changkat Raja Chulan, ibu negara ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan Operasi Pusat Hiburan.

“Secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Perodua Alza berhenti secara mengejut dan penumpangnya terus membuka pintu menyebabkan seorang anggota polis wanita tidak dapat mengelak dan melanggar pintu belakang kiri kereta itu.

“Akibat kejadian anggota berkenaan terjatuh dan mengalami kecederaan patah jari tengah tangan kanan. Suspek, 30an, keluar kereta dan menjerit-jerit kepada penumpang dan menyuruh dia membayar ganti rugi kereta, motosikal anggota polis dan kecederaan anggota berkenaan.

“Suspek menafikan kesalahannya yang berhenti secara mengejut dan tidak memberi isyarat sebelum menurunkan penumpang. Polis meminta kad pengenalan suspek untuk rekod pemeriksaan namun tidak mendapat kerjasama daripada suspek yang menuju kearah keretanya untuk beredar,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Tambah Rudy, akibat kejadian itu polis menahan suspek dengan bantuan orang awam yang melihat kejadian.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan manakala anggota polis wanita itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” ujarnya.