Pemandu e-hailing diberikan kelonggaran untuk tidak menukar kategori kenderaan persendirian kepada AH (e-hailing persendirian), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, syarat itu diputuskan selepas perbincangan di antara Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini selepas menerima rungutan daripada pemandu e-hailing khususnya pemandu Grab.

Sebelum ini, pemandu e-hailing perlu menukar kod kenderaan persendirian kepada kod AH di JPJ sebagai salah satu syarat untuk menjadi pemandu e-hailing.

"Saya telah bincang dengan pihak JPJ, dan kita telah setuju untuk longgarkan syarat ini.

"Ini bermaksud dia (pemandu e-hailing) tidak perlu tukar kategori dan boleh kekal sebagai kereta persendirian," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama JPJ, di sini pada Selasa.

Namun begitu, Loke berkata kenderaan yang digunakan untuk e-hailing perlu ada lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV), insurans untuk penumpang, pelekat e-hailing dan permit kenderaan e-hailing (EVP) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

-- BERNAMA