Polis sedang giat mengesan seorang pemandu Grab yang dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumahnya di Taman Kota Masai, dekat Pasir Gudang, sejak tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abdul Aziz berkata lelaki itu disedari hilang oleh isterinya selepas keluar dari rumah untuk bekerja, kira-kira 10 malam, Selasa lepas.

"Polis Daerah Seri Alam mengesahkan menerima laporan bersabit kejadian itu (kehilangan). Usaha mengesan lokasi terakhir telefon bimbit mangsa sedang dijalankan dan gambar mangsa juga telah diedarkan.

"Hingga kini, mangsa dan juga kenderaan Saga BLM warna kelabu bernombor pendaftaran JMQ 2214 yang dipandunya masih belum ditemui," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jokhiri berkata siasatan awal mendapati pemandu Grab itu keluar dari rumahnya sebelum menuju ke destinasi yang tidak diketahui dan buat masa ini tiada sebarang unsur jenayah disyaki berlaku.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan mangsa supaya tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, kehilangan pemandu Grab yang dikenali sebagai Ishak Shuadak itu mendapat perhatian orang ramai selepas tular dalam laman Facebook sejak semalam.

-- BERNAMA