Pemandu Grab disaran mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, setiap pemandu teksi dan seumpamanya termasuk Grab wajib berbuat demikian berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 2017 (Akta 789).

Beliau bagaimanapun mengakui kebanyakan pemandu Grab masih tidak sedar dengan kepentingan caruman berkenaan.

"Sebenarnya Akta 789 mewajibkan semua pemandu dan yang seumpamanya untuk mendaftar dan mencarum. Namun ramai lagi yang kurang kesedaran.

"Mereka mungkin rasa ini satu bebanan," katanya kepada media semasa Majlis Hari Raya Perkeso di sini hari ini.

Namun, katanya, mereka harus sedar ia merupakan satu keperluan, merujuk kepada kes baru-baru ini di mana seorang pemandu Grab ditemui mati di Selayang.

"Dia (pemandu Grab berkenaan) tidak mendaftar. Kalau dia daftar, waris akan dapat Perkeso. Memang nampak macam bebanan, tetapi ia adalah perlindungan keselamatan sosial," tambahnya.

Perkeso katanya, sedang mencari pendekatan yang berkesan untuk memberi kesedaran kepada pemandu Grab dan masih memberi kelonggaran kepada mereka walaupun langkah mencarum dengan pertubuhan pekerja itu wajib dilakukan.

"Perkeso masih lagi melaksanakan tindakan yang lebih mesra dan memberi maklumat dan minta mereka sukarela mendaftar.

"Kita mungkin memikirkan kalau mereka masih gagal, kita perlu mengambil tindakan susulan dan sewajarnya.

"Namun, kita tidak berhasrat untuk melaksanakan tindakan yang menghukum kerana kita lebih mengambil pendekatan beri tunjuk ajar pada mereka apa pentingnya caruman Perkeso," katanya lagi.

Tambahnya, pemandu Grab layak mendaftar dan mencarum di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS).

Setakat ini, 419 pemandu Grab direkodkan telah mencarum dengan Perkeso melalui SPS.