Pemandu kenderaan berat manipulasi proses pemeriksaan Puspakom?

Pemandu kenderaan berat manipulasi proses pemeriksaan Puspakom?
Tidak salah menggunakan tayar celup, tetapi penggunaan tayar celup yang dikeluarkan syarikat yang tidak berlesen berisiko tinggi mendatangkan kemalangan. - BERNAMA/Fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan ada pengusaha atau pemandu kenderaan berat yang memanipulasi proses pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), terutama melibatkan tayar celup.

Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman akui ada antara mereka yang menukar tayar asli semasa pemeriksaan Puspakom. 

"Kenderaan berat akan menjalani pemeriksaan di Puspakom sekali dalam tempoh enam bulan, ini mandatori.

"Berkemungkinan juga dia (pemandu kenderaan berat) menggunakan tayar asli sewaktu pemeriksaan, dan selepas lulus, mereka akan tukar tayar lain.

"Apabila pegawai JPJ buat pemeriksaan, ia sah dan baru lulus (Puspakom), semalam pemeriksaan Puspakom, tapi tayar yang dia (pemandu) pakai hari ini tayar yang tidak ikut spesifikasi," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Tegasnya, tidak salah menggunakan tayar celup, tetapi penggunaan tayar celup yang dikeluarkan syarikat yang tidak berlesen berisiko tinggi mendatangkan kemalangan.

"Terdapat dua jenis tayar celup yang digunakan, iaitu cross-ply dan radial.

"Tayar cross-ply merupakan tayar yang telah lama digunakan secara meluas sejak 1980-an oleh industri pengangkutan darat, terutamanya melibatkan kenderaan berat, kerana ia lebih kukuh dan tahan lasak berbanding tayar jenis radial.

"Namun, tayar jenis cross-ply lebih cepat menjadi panas berbanding dengan tayar jenis radial," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekeliruan orang ramai terhadap status penggunaan tayar celup di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail menasihati pemandu kenderaan berat untuk tidak menggunakan tayar celup tanpa kelulusan kerana ia bukan sahaja mengancam nyawa pemandu, malah pengguna lebuh raya yang lain.

Di samping itu, beliau juga mengingatkan pemandu kenderaan berat agar memastikan kenderaan mereka selamat, begitu juga dengan muatannya yang perlu kemas, mempunyai kanvas dan ditutup rapi.

"Ini perlu untuk elak objek atau barangan muatan jatuh ke atas jalan raya hingga menyebabkan kemalangan dan kesan-kesan yang lain," ujarnya.

Astro AWANI akan mendapatkan penjelasan daripada Puspakom berhubung perkara ini.