Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat satu tan di Jelutong, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Ooi Beng Leng, 47 tahun, di hadapan Majistret L. Umma Devi.

Mengikut pertuduhan, Ooi didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,065,575 gram di alamat No. 51, Jalan Perusahaan Jelutong, pada jam 4.40 petang, 31 Ogos lepas.


Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Michael KL Chee didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh tidak diikat jamin dan menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes bagi semakan laporan kimia.

Pada 31 Ogos lepas polis berjaya membongkar satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di negara ini iaitu seberat satu tan membabitkan nilai rampasan RM54 juta.