Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan empat warga Singapura di simpang tiga di Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 54 tahun itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memandu secara berbahaya dan mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Perintah tahanan reman sehingga 8 Januari (Ahad) itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Khairiah Abd Razak di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini.


Terdahulu, tertuduh yang memakai pakaian lokap polis bewarna ungu dibawa ke perkarangan Kompleks Mahkamah sekitar 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis.

Dalam kejadian 2 petang semalam, sepasang suami isteri, Rosli Samad, 54 tahun dan Maimunah Sapari, 51 tahun serta dua anak mereka Dayana, 19 tahun dan Nor Amalina, 21 tahun yang merupakan warga negara Singapura maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan itu.

Kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah lori dari arah Sepang, Selangor gagal memberhentikan kenderaan lalu melanggar tiga kereta dan sebuah motosikal yang berhenti di lampu isyarat di persimpangan itu.

Pemandu lori berkenaan kemudian menyerah diri kira-kira jam 5.30 petang semalam di Balai Polis Trafik, Port Dickson.