Seorang pemandu teksi eksekutif cedera selepas dipukul seorang lelaki yang dipercayai seorang pemandu kereta sapu di KL Sentral, ibu negara pada Sabtu.

Difahamkan mangsa dipukul kerana suspek tidak berpuas hati dengan pemandu teksi eksekutif itu yang dikatakan mendapat penumpang yang terdiri daripada pelancong untuk ke Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata kejadian berlaku pada jam 11 pagi ketika mangsa yang berusia 53 tahun sedang menunggu pelanggan di situ.

“Mangsa telah didatangi seorang lelaki yang dikenalinya berumur lingkungan 33 tahun terus menyerang mangsa sehingga berlaku pergaduhan di situ.

“Mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian muka dan kaki dan orang ramai yang berada di situ telah meleraikan pergaduhan tersebut.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum membuat laporan di pondok polis pusat perubatan itu, pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Sehubungan itu, Ruslan berkata suspek telah ditahan dan kes berkenaan masih dalam siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian sama ada urusan peribadi atau berebut pelanggan.

Kes disiasat di bawah kesalahan gaduh gempar bersekali dengan kesalahan mendatangkan cedera iaitu Seksyen 160/323 Kanun Keseksaan.