Kesemua 100,000 pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing di seluruh negara disasarkan mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tahun hadapan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata setakat ini hanya 7,000 atau tujuh peratus daripada semua pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing mencarum dengan Perkeso menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

"Ramai yang tidak mengambil berat mengenai caruman mereka kerana mereka tidak fikir panjang tentang keselamatan mereka di tempat kerja dan ia amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika terjadinya insiden yang tidak diingini.

Beliau berkata pihaknya kini dalam proses mewajibkan majikan mencarumkan pekerja asing mereka dengan caruman Perkeso dan ini melibatkan seramai 1.8 juta pekerja asing yang ada dalam negara ini.

Terdahulu, Kulasegaran menyerahkan cek RM2,000 kepada waris mangsa letupan gas di CityOne Megamall, Lo Kok Ping, 47, berbentuk sumbangan Faedah Pengurusan Mayat.

Lo adalah bekas isteri kepada O Kui Lim, 49, yang antara tiga mangsa maut selepas tertimbus di bawah runtuhan dalam kejadian letupas gas pada 4 Dis.

Manakala empat anak O Kui Lim yang berumur 21 tahun ke bawah juga menerima bayaran berkala bagi membantu meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan mereka.

Dalam kejadian itu yang dipercayai disebabkan kebocoran gas di outlet NeNe Chicken, CityOne Megmall, O Kui Lim, dan Tchee Kiam Jong, 24, masing-masing dari sini, serta Chin Hsien Long, 29 dari Pulau Pinang maut manakala 41 lagi cedera.

Sementara itu, CityOne Megamall dibuka semula, menjadikannya beroperasi sepenuhnya susulan laporan Keselamatan Struktur yang disediakan oleh Certified Structural Engineer Consultants.

Semua kedai dibuka untuk perniagaan melainkan 21 outlet iaitu KKDC; Fullhouse; Earthlings; MetroJaya; Watsons; Hotlink; Place to Chat; yoberry kiosk; X Core Fitness; Huawei; Oppo; Coneli; Soft Toys Shop; Ms. Poteto; A. People; The Men's Shop; Lot 10 Cafe; Sunmax; Antiques Shop; Mr. Right and Pezzo.

"Kami ingin memohon maaf kepada rakan-rakan, penyewa dan pembeli di CityOne kerana ditutup sebelum ini.

"Kami tidak mahu memperjudikan keselamatan orang ramai dan bekerjasama erat dengan semua pihak berkuasa bagi mendapatkan lampu hijau sebelum dibuka semula," kata Pengarah Kenbest Sdn Bhd, pemaju CityOne, Stephen Long Tine Chung

Sehingga hari ini, beliau berkata, 22 mangsa telah dibenarkan pulang dari hospital, tiga daripada empat yang menerima rawatan di ICU telah dipindahkan ke wad biasa, dan 13 mangsa di wad kebakaran berada dalam keadaan stabil.