Pemandu-pemandu teksi diminta menjaga kelakuan dan jangan biadab khususnya terhadap golongan berjawatan tinggi dan lebih tua.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, masyarakat akan terus memandang serong kepada industri dan pemandu teksi sekiranya mereka tidak mengubah sikap.

“Pemandu-pemandu teksi perlulah bersikap profesional dan mendengar nasihat serta solusi untuk sesuatu masalah yang hendak diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kejadian di majlis perjumpaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi pagi tadi yang kecoh seketika apabila beberapa orang ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

BACA: Majlis perjumpaan Tun M kecoh diganggu pemandu teksi biadap



Menurut Shamsubahrin, walaupun beliau pernah melakukan demonstrasi sebelum ini, namun tidak pernah bersikap kurang ajar atau biadab dengan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Dr Mahathir bagi menyelesaikan masalah pemandu-pemandu teksi dan industri teksi di Malaysia.