Seorang pelajar tahun pertama Universiti Utara Malaysia (UUM), maut apabila kereta yang dinaiki terbabas lalu merempuh lori di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Lojing di sini, pagi tadi.

Mangsa, Nur Najiha Mohd Zaki, 20, berasal dari Pasir Mas, maut di tempat kejadian manakala tiga rakan yang turut menaiki kenderaan itu cedera.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Taufik Maidin berkata, pemandu Perodua Viva, Muhammad Iskandar Zulkarnain Bohkori, 20 dan dua penumpang, Nor Maizatul Najwa Zainuddin, 20, dan Khairun Adlin Adnan, 20, cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5.50 pagi itu dipercayai berpunca kerana pemandu terlelap lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.