Selepas hampir lapan jam terperangkap, mangsa seorang pemandu lori yang tersepit di bawah kenderaan beratnya selepas terbabas ke dalam kawasan belukar akhirnya berjaya dikeluarkan malam tadi.

Mangsa, Muhammad Jamil Lango, 35, dikeluarkan oleh anggota bomba kira-kira jam 9 malam tadi selepas maut dalam kemalangan di kilometer 28, Jalan Pintasan Sungai Ular, di sini pada jam 1.30 petang semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Mohd. Sani Harul, pihaknya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa berikutan kepala lori terbabit terbenam di kawasan tanah gambut serta berpaya.

"Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 petang. Sebaik sahaja tiba, kami mendapati sebuah lori 20 tan itu terbalik di dalam belukar yang merupakan kawasan tanah gambut.

Mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan pada jam 9 malam.

"Seramai sembilan pegawai dan anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa termasuk mengorek tanah dengan bantuan jentera pengorek,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Noor Yusof Ali berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu seorang diri di lorong kanan dari arah Kuantan menghala ke Sungai Ular hilang kawalan dipercayai akibat mengantuk.

Mangsa, Muhammad Jamil Lango, 35 tahun.


Pasukan bomba mengambil masa lapan jam untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa cuba mengelak ke kiri jalan lalu merempuh besi penghadang jalan dan jatuh ke dalam belukar berhampiran.

"Kita sudah menghantar mayat mangsa ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut ini masih dijalankan," katanya.