Seorang pemandu treler dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya yang mengorbankan lima mangsa pada 6 Okt lepas.

Mohd Zaidi Di, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noorhidayah Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan, bapa empat orang anak itu memandu treler di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan itu sehingga menyebabkan kematian tiga wanita, seorang lelaki dan seorang bayi lelaki.

Dalam kejadian di Km 255.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Kuala Kangsar pada pukul 11.47 pagi itu, lima mangsa rentung iaitu Yew Poi Shy, 37, Teo Wee Tatt, 46, Shaw Swee Me, 42, Lee Len Ying, 60, dan Yew Yi Chin, 1 tahun.

BACA: Lima maut terbakar dalam nahas treler-kereta dekat Terowong Menora

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin manakala lesen memandunya ditarik balik serta digantung mulai hari ini sehingga prosiding kes selesai. Sebutan semula kes pada 9 Nov ini.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azhar Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BACA: Nahas lima rentung, pemandu treler milik 13 saman, positif dadah

Terdahulu, Azhar memohon agar mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia mempunyai 31 rekod saman trafik lampau sejak 1999 dan ini menunjukkan tertuduh tidak pernah serik melakukan kesalahan lalu lintas.

"Untuk makluman mahkamah juga, insiden kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti treler, lori dan bas juga kerap berlaku dan ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada pemandu kenderaan berat lain," katanya.

Tertuduh pula memohon agar mahkamah membenarkannya diikat jamin memandangkan dia menyara isteri yang tidak bekerja serta empat orang anak.

-- BERNAMA