Pemansuhan hukuman mati mandatori perlu diteliti - Wan Azizah

Pemansuhan hukuman mati mandatori perlu diteliti - Wan Azizah
Kes jenayah yang melibatkan pengaruh dadah meningkat sungguhpun negara melaksanakan hukuman mati mandatori. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori memerlukan penelitian dari segenap aspek kerana ia merupakan isu yang kompleks, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam satu pertemuan susulan kes pembunuhan kejam bayi Zara yang menggemparkan negara Jumaat lalu.

Katanya menurut Liew, kes jenayah yang melibatkan pengaruh dadah meningkat sungguhpun negara melaksanakan hukuman mati mandatori dan hukuman itu dilihat tidak dapat menghentikan kejadian jenayah termasuk jenayah kejam.
"Kita perlu melihat perkara itu secara mendalam sebab ini melibatkan hukuman gantung sampai mati. Ia jenayah yang hina ... tetapi apakah punca kejadian. Jika ia berkaitan dadah, bagaimana anda mahu tangani isu dadah, (jadi) anda perlu mengambil (perkara ini) secara menyeluruh bukan sekadar berkenaan (hukuman) mati mandatori.

"Hukuman mati mandatori untuk kesalahan penggunaan dadah ini tidak menjadi pencegah kerana di penjara banyak kes jenayah melibatkan pengaruh dadah termasuk kes kematian bayi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata kabinet masih belum membuat keputusan berhubung pemansuhan hukuman berkenaan.

Semalam, Liew berkata hukuman mati mandatori bagi pelaku jenayah bunuh dengan sengaja adalah antara 32 kesalahan yang akan dipertimbang untuk dimansuhkan.

-- BERNAMA

Tag: hukuman mati, wan azizah wan ismail, pe laksanaan, pembunuhan, jenayah, hukuman, gantung sampai mati


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.