Penghapusan kawalan yuran konsultasi di klinik-klinik swasta tidak memberi kebebasan kepada pemilik untuk meletakkan harga sesuka hati.

Ini kerana, pengusaha klinik masih perlu mempamerkan yuran yang dikenakan untuk membolehkan orang ramai memilih klinik yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

"Apa yang kita lakukan adalah untuk memulangkan kembali kepada rakyat kuasa untuk membuat pilihan.

"Itulah sebab pengusaha klinik perlu mempamerkan yuran terbabit supaya pesakit yang datang dapat membuat penilaian sendiri dan memilih perkhidmatan serta bayaran yang sesuai," kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Langkah berkenaan juga diharapkan dapat meningkatkan persaingan secara sihat antara klinik swasta.

"Kelebihannya apabila kita buat begini, klinik swasta akan bersaing sesama mereka untuk menambah baik perkhidmatan yang diberikan kerana rakyat tentu tidak akan pilih klinik dengan yuran yang mahal, tetapi perkhidmatannya tidak bagus," tambah beliau.

Pihak Kementerian Kesihatan, kata Dr Dzulkefly, sentiasa mendengar keluhan orang ramai dan mempunyai cara tersendiri untuk menangani rungutan jika terdapatnya klinik swasta yang meletakkan yuran kurang munasabah.

Dzulkefly berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran kempen Speak Out: Express Your Right di ibu negara, pada Selasa.

Kempen yang akan berlangsung selama lima tahun sehingga 2025 ini bertujuan mendidik dan memperkasa golongan bukan perokok menyuarakan hak mereka untuk mendapatkan persekitaran yang bebas asap rokok, terutamanya dalam menegur perokok yang merokok di sekeliling mereka dengan berhemah.