Pemantauan aktiviti militan dan berbaur keganasan akan dilaksanakan secara teliti tanpa mengganggu privasi serta data peribadi pengguna media sosial.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya giat melaksanakan pemantauan dan tindak balas terhadap pesanan atau kenyataan yang mempunyai elemen keganasan di media sosial.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai tindakan pemantauan itu kerana tiada pencerobohan maklumat peribadi mereka berlaku.

"Jangan khuatir, kita tidak akan pernah mengusik data peribadi atau lain-lain maklumat peribadi tetapi kita akan gunakan kaedah tertentu untuk melakukan pemantauan terhadap aktiviti mana-mana rakyat Malaysia atau 'pejuang luar' yang terlibat di dalam mempromosikan Daish, Jemaah Islamiyah (JI), ataupun mana-mana organisasi militan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia edisi keempat pada petang Isnin.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata Malaysia dikenali sebagai negara yang berpengalaman dalam mengendalikan radikalisasi dan pengganas serta komunis selama ini.

Jelasnya, sebelum ini usaha tersebut juga telah mencapai kejayaan dari segi ideologi dan psikologi setinggi 97.5 peratus.

Katanya, usaha itu dilaksanakan apabila pihak pertahanan negara berdepan kumpulan militan terutamanya mereka yang terdiri daripada pelbagai kumpulan pengganas yang sebelum ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012(SOSMA).

“Mereka ditempatkan di satu tempat khas dan kami telah melakukan pengubahsuaian di Kem Tahanan Kamunting sebagai pusat pemulihan untuk mereka yang ditahan atas faktor keganasan,” ujarnya lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebelum ini satu resolusi pada persidangan itu bersetuju akan membentuk jalinan kerjasama di antara Unit Keganasan bukit Aman, Pusat Keamanan Raja Salman serta Pusat Keamanan Sejagat dan Anti Keganasan ASEAN.

Katanya, ketiga institusi itu akan meletakkan Malaysia di peta dunia atas sumbangan negara berdepan dan menangani masalah keganasan, militan serta extremisme.