Pihak berkuasa bagi keselamatan dan kawalan kesesakan jemaah haji yang dianggarkan tiga juta orang pada musim haji tahun ini akan menggunakan khidmat helikopter Tentera Udara Arab Saudi (SAAF) bagi pemantauan jemaah haji dari udara.

Pengarah Pasukan Khas Jeddah, Bandar Al-Akur berkata, hasil pemantauan udara akan disalurkan kepada Pusat Kawalan Tetap Bagi Keselamatan Awam di Mina yang melakukan pemantauan menerusi ribuan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang sekitar Mina, Arafah dan di ketika-tiga tempat melontar di Jamraat serta di stesen Keretapi Metro.

"Sehubungan itu kita akan menggunakan helikopter pelbagai misi Sikorsky bagi memantau keadaan," katanya kepada 11 editor dari negara-negara Islam yang dijemput bagi membuat liputan persediaan musim haji tahun ini.

Kesemua 11 orang pengamal media dari Pakistan, Malaysia, Senegal, Turki, Sudan dan Indonesia itu diberi peluang keemasan bagi merasai sendiri tugas pemantauan udara dengan menaiki pesawat Sikorsky yang dipimpin oleh Ketua Operasi Pengawasan Udara Kolonel Ibrahim Enani.

Tanpa mendedahkan maklumat terperinci, beliau berkata pemantauan dilakukan setiap hari oleh lebih 20 Sikorsky yang berada di pangkalan udara.

Perjalanan satu setengah jam itu bermula dari Pangkalan Udara SAAF di Jeddah, dan terbang melalui pelabuhan Jeddah, Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, kawasan perkhemahan Mina, padang Arafaf, jambatan bagi melontar di ketiga-tiga Jamarat, bukit Jabal Rahmah dan kemudian mendarat di kawasan lapang berhampiran Pusat Kawalan Keselamatan Awam di Mina.

Pengalaman yang paling teruja dan mengagumkan bagi wakil media ialah ketika mengelilingi kawasan Makkah menaiki helikopter itu sambil melihat pemandangan Masjidil Haram dari udara serta menara jam tertinggi di dunia - Albraj Al-Bait atau Menara Jam Di Raja Makkah.

Sementara itu di Mina, Ketua Keselamatan Masjidil Haram Jeneral Mohamed Al Wasel Al Ahmadi berkata pejabat keselamatan awam telah disediakan di Mina yang menghimpunkan semua agensi kementerian yang terlibat dengan kerja-kerja pemantauan.

Beliau berkata perkara yang paling penting ialah kawalan kesesakan ketika jemaah haji melontar di ketiga-tiga jamarat iaitu Jamarat Ula, Jamarat Wusto dan Jamarat Aqabah.

"Isyarat amaran keadaan cemas disalurkan kepada kami di bilik kawalan seandainya berlaku keadaan tidak diingini seperti pergerakan jemaah yang tersekat di Jamarat. Bagi kami pergerakan jemaah yang tersekat mengundang bahaya.

"Pasukan bertindak di lapangan akan bertindak pantas menyuraikan kesesakan jemaah secepat mungkin bagi mengelakkan bencana seperti rempuhan. Jika ini berterusan akan membawa masalah kepada ratusan yang berada di tempat berkenaan.

"Dua sebab yang menghalang pergerakan jemaah iaitu jemaah yang tua dan uzur serta jemaah yang berhenti untuk meneguk air kerana haus," tambah beliau.

Beliau berkata jemaah yang bergerak melawan arus setelah selesai melontar pula boleh mendatangkan bencana.

"Ada sesetengah jemaah yang suka berpatah balik ke laluan yang sama ketika mereka datang ke kompleks Jamarat dan ini boleh menimbulkan masalah serius. Ini kerana laluan yang mereka datang lebih hampir untuk kembali ke khemah berbanding menggunakan jambatan yang disediakan.

"Justeru orang kami harus bertindak pantas untuk memujuk jemaah supaya menggunakan laluan yang betul, menggunakan jambatan dan berjalan mengikut arus.

Ketua rombongan juga telah diberi taklimat oleh pegawai Kementerian Haji mengenai perkara tersebut dan mereka hendaklah menekankan kepada jemaah supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Misi Haji dari semua negara telah diberi taklimat tentang waktu jemaah haji dari negara mereka harus bergerak ke kompleks Jamarat, dan pelanggaran ketetapan waktu itu boleh menimbulkan krisis.

Sebagai contoh, jemaah haji Malaysia bergerak pada awal pagi berbanding jemaah dari negara Arab lain dan seterusnya dan ketetapan ini harus dipatuhi bagi mengelakkan krisis.

Mohamed Al Wasel berkata sungguhpun pemantauan keselamatan lebih menjurus kepada pengurusan kesesakan namun perkara lain seperti laporan penyakit, hilang dan jumpa, jemaah yang tersasar jalan akan juga dilaporkan ke pusat kawalan.

Beliau berkata laporan yang dikemukan akan dibincangkan dan ditangani oleh pegawai dari pihak berkuasa yang berkeanan.

-- BERNAMA